Mina meninggal seribu pengajaran

mina1

Melontar di Jamrah Aqabah, Mina. Perjanjian Aqabah II berlaku kira-kira 150 meter darinya, ditempat hari ini dinamakan Masjid Bai’ah.

Kelmarin jemaah Haji di Mekah meninggalkan Mina setelah bermalam di sana selama 3 malam. Berada di bumi Mina selama beberapa hari tersebut mengingat bahkan membakar semangat juang seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Mina tempat berputiknya Islam di Madinah dan anak tangga pertama berlakunya Hijrah. Mina tempat pengorbanan dibuktikan oleh Nabi Ibrahim as dan keluarganya, serta Rasulullah saw dan para Sahabatnya. Sekiranya 3 juta jemaah Haji seluruh dunia benar-benar mengamati bumi Mina sepanjang mereka bermalam di sana, sudah tentu Mina boleh membakar semangat juang mereka dan memberi kesan besar terhadap masyarakat disekeliling apabila mereka kembali kepada mereka. “Kenapa tidak keluar setiap golongan dari mereka satu kumpulan untuk mempelajari Agama, dan memberi amaran kepada masyarakat apabila mereka kembali kepada mereka” (At-Taubah).

1- Ketika Dakwah di Mekah membeku, Nabi saw cuba di Taif tetapi gagal dan Allah swt memberi semangat kepadanya diperistiwa Israk Mikraj, Mina menjadi pilihan Nabi saw untuk berdakwah. Ia tempat kabilah-kabilah berkumpul semasa Haji.

2- Nabi saw tidak berputus asa dan masuk ke setiap khemah, walaupun kesemua khemah menolak Islam yang Baginda saw bentangkan! Mereka berkata, “Kalaulah orang ni ditolak oleh kaumnya sendiri, tak kan kita pula nak menerima dia”! Sayang, penolakan mereka mengakibatkan kampung mereka dilupai umat Islam hari ini, berbeza dengan Madinah! Ketika Rasulullah saw berada dalam khemah mereka, mereka punya beberapa minit untuk membuat keputusan bersejarah yang besar. Mereka gagal membuat keputusan yang betul, keputusan yang mengangkat mertabat keturunan dan bandar mereka sendiri. Amat malang jika kita hari ini juga seperti sedemikian. Buatlah keputusan yang betul untuk bersama qafilah (rombongan) Dakwah Islam yang sahih, demi masadepan kita sendiri dan anak cucu cicit kita. Mereka yang menangguh untuk bersama, maka ketahuilah bahawa qafilah Dakwah akan meneruskan perjalanannya tanpa menunggu sesiapa.

3- Di sempadan Mina, setelah puas bertemu setiap kabilah di setiap khemah, apabila lalu di Aqabah, Nabi saw nampak 6 orang dari Yathrib (Madinah) sedang bercukur kepala. Baginda saw masih tidak berputus asa, pergi mendekati mereka dan mengemukakan Islam untuk dibawa ke kampung mereka. Rupanya mereka pernah mendengar akan datang Nabi Terakhir dari kaum Yahudi Yathrib, lalu mereka memeluk Islam. Di sini bermula putik Islam di Madinah! Moga Allah swt terus memberkati bumi Mina dan membakar semangat juang setiap mukmin yang bermalam di situ pada Hari-hari Tasyriq. Demikian juga pengajaran kepada para Duat sepanjang zaman, dimana pertolongan Allah sering datang dipenghujung usaha-usaha yang dibuat tanpa jemu dan putus asa. Lihat juga bagaimana Allah swt mendatangkan air Zamzam dipenghujung usaha Hajar mencarinya, Allah swt mendatangkan ribut kencang dipenghujung kesabaran dan usaha para Sahabar ra ketika Perang Khandaq.

4- Pada Musim Haji berikutnya, Mina menjadi tempat Bai’ah (Perjanjian) Aqabah I antara Rasulullah saw dengan 12 wakil umat Islam Madinah. Ia adalah perjanjian memperkasakan Tarbiyah Islamiyah sebagai asas gerakan dan Daulah Islam, menubuhkan Kementerian Pendidikan di Madinah dengan menteri pertamanya, Mus’ab bin Umair, dari Mekah, dihantar ke Madinah untuk terus hidup bersama mereka sehingga hari syahidnya di Perang Uhud.

5- Pada Musim Haji tahun selepas itu pula, Mina sekali lagi menjadi tempat Bai’ah Aqabah II diantara Rasulullah saw dengan 75 wakil umat Islam Madinah. Ia adalah perjanjian memperkasakan Jihad Islami, mengasaskan kedaulatan sebuah negara dan menubuhkan Kementerian Pertahanan di Madinah. Hanya dengan terjaminnya Kedaulatan di Madinah, baru Nabi saw bersedia berhijrah ke sana. Sebaik termeterinya Bai’ah Aqabah II, jemaah Haji bersurai dan pulang ke negeri masing-masing, Allah swt dan Rasulullah saw mewajibkan kaum muslimin di Mekah berhijrah ke Madinah, meninggalkan segala hartanah, aset, sanak saudara, kampung halaman dan kenangan turun temurun. Ianya adalah satu arahan yang besar untuk dilaksanakan. Tanpa Iman, keyakinan dan cita-cita tinggi untuk melihat Agama ini menang di dunia mengatasi Kuasa-kuasa Besar Dunia, sudah tentu tarikan harta dan nafsu dunia boleh mengatasi Perjuangan.

6- Di Bai’ah Aqabah II, para 75 Sahabat ra Madinah bersedia melawan Kuasa-kuasa Besar Dunia Rom dan Parsi jika mereka cuba menceroboh dan mencari Rasulullah saw. Mereka termasuk 2 Sahabat wanita, Nusaibah binti Kaab dan Asmak binti Amru! Bandingkan semangat kedua-dua wanita ini dengan mana-mana askar lelaki kita zaman kini jika diajak melawan Amerika!

7- Khuatir jika komisyen atau pulangan hasil dari perjanjian mereka dengan Rasulullah saw nanti tak seberapa, mereka bertanya tentang apakah balasan untuk mereka. Nabi saw menjawab, “Kamu mendapat Syurga”. Mendengar “Syurga”, mereka tidak berlengah, sebaliknya terus menghulur tangan untuk bersalam dan memeteri perjanjian dengan Nabi saw. Alangkah besarnya “Syurga” di hati mereka berbanding dengan komisyen dari dunia yang fana ini. Perjuangan Duat hari ini tidak akan kemana jika dunia dan perhiasannya masih bertahta, banyak atau sedikit, di hati dan jiwa mereka.

Dari Mina, berlaku Hijrah ke Madinah. Dari Madinah, tersebarnya cahaya Islam ke serata pelusuk Semenanjung Arab dan dunia. Jasa dan pengajaran Mina akan tetap teguh di dalam hati dan jiwa para Duat. Setiap butir pepasir dan batu di Mina akan terus menjadi saksi kisah-kisah lalu yang membakar semangat juang Duat hari ini. Moga bertemu lagi dengan Mina di tahun-tahun hadapan. Ameen.

Ustaz Halim www.inijalanku.wordpress.com

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: