4 Ralat Haji

SERONOK DAPAT ZIARAH JEDDAH, TAPI DENDA KAMBING SEEKOR !!!

Musim Haji 1428H lalu baru tamat. Tawaf Wadak wajib dilakukan bagi mereka yang meninggalkan Mekah samada kerana pulang ke Tanahair atau keluar lebih dari 2 marhalah (91 km) dari Mekah. Ketua satu rombongan pakej tertentu membawa rombongannya bersiar-siar ke Jeddah (80 km). Malangnya mereka juga melawati Masjid Rahmah (“Masjid Terapung” kata orang Melayu) 95 km. Setiba mereka di Mekah, baru mereka tahu mereka wajib membayar dam seekor kambing kerana tidak berTawaf Wadak!!!

Nasihat : Banyak pakej ingin menarik minat pelanggan dengan membawa mereka bersiar-siar ke tempat menarik. Namun hukum hakam Syarak, lebih-lebih lagi tentang Haji Umrah ketika berada di Tanah Suci mesti dipatuhi. Bayangkan jumlah denda sekitar RM300 seekor kambing x 2 bas x 50 orang satu bas = RM 30,000!! Siapa yang kena bayar? Jemaah Haji, ketua rombongan atau “ustaz”nya (jika ada)? Pastikan ketua rombongan anda seorang yang alim dan bertauliah dalam membuat keputusan-keputusan di sana nanti.

KENAPA TAK ADA USTAZ YANG AJAR SAYA !!

Pada 7-Dis-2007 lalu, saya memimpin Rombongan Haji Syarikat MITRA KEMBARA menaiki KT 78 dari KLIA ke Jeddah dan terus ke Mekah. Di dalam pesawat, apabila hampir melewati Miqat Qarul Manazil kesemua Jemaah dari pelbagai syarikat telah pun menenakan pakaian Ihram dan bersedia untuk berniat dan berTalbiyah, kecuali seorang pakcik dari Syarikat —-. Walaupun bukan dari rombongan atau dibawah tanggungjawab saya, atas dasar kewajipan saya menghampirinya dan bertanya kenapa dia belum bersedia. “Saya akan berniat di Tan’iem (miqat penduduk Mekah)”, jawabnya. Saya jelaskan, “Tan’iem adalah untuk Umrah kedua, ketiga dan seterusnya nanti. Adapun Umrah Pertama, miqat kita ialah di atas pesawat sekarang, di Qarnul Manazil, Pakcik”. Kata Pakcik, “Oh ya ke? Kenapa tak ada pengkursus atau ustaz dari Syarikat —- ini yang mengajar atau tunjukkan saya?”, katanya dengan nada kesal sambil menyebut nama pekan-pekan dimana dia menghadiri Kursus Haji di sekitar Melaka, sedang kain Ihramnya didalam ruang bagasi dan bukan dikabin. Sebelum ini dia pernah ke Mekah mengerjakan Umrah. Akhirnya dia bersetuju dengan penyelesaian terbaik iaitu berniat Umrah di situ tanpa pakaian Ihram dengan dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir sebanyak SR60.00 tanpa dosa, berbanding dia berniat dengan berpakaian Ihram setiba di Jeddah Airport yang bukan Miqat yang akan dikenakan Dam Tertib dan Taqdir SR300 (seekor kambing) dengan dosa yang mengganggu kemabruran Umrahnya.

 Pengajaran & Nasihat 

Pakcik tersebut masih belum memahami selok belok ibadat Haji dan Umrah sehingga ke hari berlepas ke Tanah Suci, samada dia sendiri tidak memberi tumpuan kepada Kursus yang disampaikan atau Syarikatnya terlepas pandang ada dikalangan Jemaahnya yang sebegitu. Syarikat itu juga tidak memastikan di hari berlepas semua jemaahnya bersiap Ihram samada dengan menghantar ustaz mengiringi rombongan atau panduan bertulis yang jelas untuk dilaksanakan di hari berlepas, termasuk bersedia pakaian dan bila hendak berniat.

Ikutilah Kursus dengan tekun sambil membuat bacaan tambahan. Pilihlah siapa yang akan membimbing ibadat Haji dan Umrah anda dan bukan sekadar mendaftar dengan mana-mana syarikat pelancungan kerana kita ke Mekah bukan untuk melancung tetapi melaksanakan ibadat dengan selok beloknya yang terperinci. Pendik kata utamakan SIAPA dari APA (SIAPA pembimbing dan bukan syarikat APA).

 HAJINYA TIDAK SAH !! Aduan :

Semasa menjadi Guru Agama Maktab 89 di Tanah Suci pada tahun 2001, saya didatangi seorang jemaah dari hotel berhampiran yang bertanyakan perihal kawan serombongannya. Kawannya mengerjakan Haji dengan pergi ke Mekah dahulu secara tamattuk iaitu mengerjakan Umrah dahulu setiba Mekah, kemudian selepas itu mengerjakan Haji. Malangnya, Umrah beliau belum disempurnakan kerana tidak sah Saie Umrahnya dimana dia tidak bersaie sehingga ke hujung Safa atau hujung Marwa, sebaliknya berpada mengambil jalan pendik sahaja di tengah2 landasan Saie.

 Hukumnya:

Umrahnya tidak sah kerana Saie Umrah nya (rukun Umrah) tidak sah kerana tidak bersaie hingga ke hujung Landasan Saie. Disebabkan Umrahnya belum sempurna sedang dia telah memulakan Saie Umrah, maka dia tidak boleh mengerjakan Haji sehingga Umrahnya sempurna, kecualilah sekiranya dia belum memulakan Saie. Oleh itu dia tidak boleh mengerjakan Haji pada tahun itu !!

 Nasihat :

  1. Mesti melakukan Haji dan Umrah dengan berilmu atau dibimbing oleh orang yang berilmu.
  2. Selalulah merujuk alim ulamak dalam bidang Haji dan Umrah samada di Tanahair lebih-lebih lagi di Tanah Suci. Kesalahan mungkin nampak kecil tetapi kesannya Haji tahun tersebut tidak sah !

Tinggalkan komen