Pencapaian Tahun Ini

Alhamdulillah, semua jemaah Haji dibawah kelolaan saya telah selamat kembali ke Tanahair pada 19/1/2008 yang lalu. Semoga beroleh Haji yang Mabrur. Setiap tahun mempunyai cabaran dan kenangannya buat kedua-dua Pengelola dan Jemaah Haji sendiri. Kejayaan atau pencapaian yang dilalui saya tuliskan di sini sebagai panduan untuk pengurusan Haji dan juga perkongsian kepada mereka yang berhasrat untuk mengerjakan Haji di tahun-tahun akan datang. Diantara pencapaian khusus rombongan ini yang diperolehi adalah :

(1) Tempat penginapan di Mekah, Hotel Asia Palace dan Hotel Burj Ra’ed terletak sangat hampir dengan pintu Masjidil Haram bernama Bab Al-Madinah, sekitar 30 meter sahaja ! Pintu Al-Madinah pula adalah diantara pintu yang terhampir dengan Kaabah ! Ini memudahkan jemaah ke Masjid beribadah, pulang ke hotel bila-bila masa untuk makan minum, berehat dan ke bilik air.

Berbanding dengan sesetengah pakej yang hotelnya terletak 400 meter dari pintu Masjidil Haram !Saya ada menerima keluhan mereka kerana mereka memilih pakej dengan membayar beberapa ribu ringgit tambahan adalah untuk mendapat hotel yang berdekatan dengan masjid. Ada yang membawa ibu bapa yang tua. Ada yang lutut mereka sendiri tidak larat berjalan jauh, oleh itu dia hanya pergi sekali sehari ke masjid, duduk di masjid untuk beberapa waktu solat dan solat beberapa waktu lagi di hotel. Ini tidak memenuhi hasrat mereka yang asal.

(2) Raptai Haji berjaya diadakan sebelum tiba Hari-hari Haji (Arafah – Muzdalifah – Mina) yang sebenar dimana mereka dibawa ke Arafah, seolah-olah berwuquf pada 9 Zulhijjah, kemudian ke Muzdalifah, seolah-olah Bermabit 9 hb malam 10 hb dan kemudian ke Mina, seolah-olah Bermabit 3 malam. Mereka dibawa melihat Jamrah tempat melontar supaya mendapat gambaran lebih awal bagaimana rupanya tempat melontar pada 10 – 13 hb Zulhijjah nanti.

(3) Program ketika berwikuf di Arafah yang penuh dan padat memberi kepuasan dan ketenangan kepada jiwa jemaah. Pada malam dan pagi 9 hb Zulhijjah mereka dinasihat supaya mendapat rehat yang secukupnya ke arah beribadat Wuquf sepenuhnya. Zikir Arafah dan doa-doa Rasulullah saw yang makthur memenuhi Wuquf kami. Dalam hadis menyebut, Nabi saw berdoa (kerana terlalu panjang dan tidak membuang masa di Wuquf) hingga tali unta Baginda saw yang jatuh diambil dengan sebelah tangan, sedang sebelah tangan lagi masih diangkat kerana terus berdoa.

Berbanding ramai jemaah Haji lain di khemah-khemah sekeliling yang nampak kurang terbimbing lalu mereka kurang memenfaatkan masa Wuquf di Arafah untuk beribadah, bertalbiyah dan berdoa. Sebaik selesai beberapa zikir, ramai kelihatan bersiar-siar di sekitar khemah, duduk berbual sesama mereka atau tidur. Malangnya ini berlaku setiap tahun walaupun dikalangan jemaah Haji pakej. Mereka diurus tetapi tidak dibimbing.

(4)  Pergerakan mencabar Arafah ke Muzdalifah berjalan dengan lancar dan cepat, kurang dari 1 jam.

Berbanding ramai jemaah yang berada di dalam bas berjam-jam, ada yang berbelas jam, kerana kesibukan bas dan pejalan kaki.

(5) Pergerakan sesudah bermabit di Muzdalifah, menuju ke khemah Mina adalah yang paling mencabar pada tahun ini. Alhamdulillah, sebaik Tengah Malam berlalu (wajib), satu keputusan bijak dibuat supaya jemaah terus menaiki bas yang datang pada jam 2.00 pagi sementara cuaca masih dingin, sebelum matahari naik nanti. Jemaah selamat tiba di khemah Mina pada jam 4.00 pagi dan terus bersiap untuk solat Subuh. Setelah solat Subuh dan sarapan, jemaah yang sememangnya kurang tidur sejak semalam kerana pergerakan demi pergerakan (Arafah – Muzdalifah – Mina) berpeluang untuk tidur berehat dengan selesa di dalam khemah beberapa jam sehingga masa menghampiri Zuhur.

Berbanding ramai jemaah pada tahun ini yang menunggu bas di Muzdalifah sejak malam hingga pagi dan matahari terik mula naik. Sekitar pukul 9.00 pagi ribuan jemaah yang masih di padang terbuka Muzdalifah mula gelisah kerana tidak tahan pancaran cahaya matahari yang panas terik. Pada sekitar jam 11.00 pagi sebahagian mereka mengambil keputusan untuk berjalan kaki 2 – 3 kilometer ke khemah manakala sebahagian lagi terus memilih bertahan menunggu bas tiba. Kerana hilang sabar, setiba di khemah, ada pihak pengelola jemaah yang bergaduh dengan pihak Arab, yang mengendalikan bas sehingga hendak bertumbuk hanya kerana isu sebotol air mineral. Ini boleh mengganggu kemabruran Haji.

(6)  Program di Mina diatur penuh dan memberi menfaat dan makna yang lebih kepada para Jemaah Haji. Diantaranya ialah bacaan Zikir-zikir Harian secara beramai-ramai, kuliah mengenai sejarah Mina dan pengajarannya kepada umat Islam hari ini (3 siri), qiyamullail setiap malam, Majlis Taaruf sesama Jemaah dan sebagainya. 4 hari di Mina melalui program-program yang diatur, hubungan sesama jemaah semakin erat disamping perasaan sebagai hamba-hamba Allah lebih tersemat di jiwa.

(7)  Program selepas Hari-hari Haji diatur dengan licin agar jemaah dapat menunaikan ibadah mereka di Tanah Suci dengan ikhlas dan puas. Ini termasuk Umrah Harian dimana bas disediakan setiap pagi selama 7 hari untuk jemaah berniat di miqat-miqat Jakranah, Hudaibiah dan Tan’iem. Jemaah dibawa melawat Museum Mekah, perah dan minum susu unta segar, Maulid Nabi (tempat Nabi saw lahir), rumah masyarakat Melayu, beramah mesra dengan mereka yang telah tinggal di Mekah berpuluh tahun lalu, bandaraya Jeddah, menyaksikan matahari tenggelam di ufuk Laut Merah dan lain-lain tempat yang menarik.

(8)  Jemaah bukan sahaja dibawa ke Jeddah dengan baik tetapi dengan selamat, selamat dari didenda Dam seekor kambing !!

Berbanding dengan ramai jemaah yang juga mengikuti program ziarah Jeddah, tetapi turut sama pergi ke Masjid Rahmah (atau Masjid Terapung kata orang Melayu kerana terletak diatas cerucuk di tepi pantai) yang jauhnya lebih dari 2 Marhalah (91 km). Keluar lebih dari 2 Marhalah diwajibkan Tawaf Wadak di Kaabah terlebih dahulu. Oleh sebab mereka tidka dimaklumkan apa-apa oleh pihak yang menguruskan ziarah tersebut untuk berTawaf Wadak terlebih dahulu atau tidak, dan mereka telah keluar lebih dari 2 Marhalah ke Masjid Rahmah, tiap seorang dari mereka (bilangan mereka berbas-bas) wajib menyembelih seekor kambing (RM280 seekor) !!! Di sini nampak pentingnya ilmu dalam sebarang pengembaraan berbentuk Ibadah seperti Haji dan Umrah.

(9)   Tempat penginapan di Madinah, Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick, bertaraf 5 bintang sangat dekat jaraknya ke Masjid Nabawi, hanya beberapa langkah dari banguannya untuk masuk ke pintu pagar masjid !! Ini sekali lagi memberi kegembiraan kepada jemaah Haji. Keselesaan dan keenakan makanannya juga menjadi kenangan.

(10)  Slogan Haji setiap tahun “Di Madinah : 40 Waktu Solat, 40 Tempat Ziarah” alhamdulillah berjaya dilakukan. Setiap tempat lawatan disertakan dengan penerangan terperinci serta pengajarannya kepada jemaah Haji. Dengan ini jemaah Haji dapat lebih memahami dan merasakan sejarah Rasulullah saw seolah-olah ia berlaku di depan mata sendiri. Ini menjadi bekalan penting sebagai panduan hidup dimasa depan.

Berbanding ramai jemaah Haji atau Umrah hanya dibawa melawat ke 8 atau 9 tempat sahaja termasuk Masjid Jumaat, Masjid Qubak, Bukit Uhud, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh/Khandaq, Pasar Kurma dan kilang mencetak Al-Quran.

10 pencapaian di atas adalah pencapaian yang menonjol pada tahun 1428H/2007M yang lalu. Di sana terdapat pencapaian-pencapaian lain yang sememangnya mesti dicapai dan disyaratkan oleh pihak Tabung Haji setiap tahun seperti kecekapan perjalanan Jeddah – Mekah – Madinah – KLIA, menu makanan, bimbingan, bimbingan dan sebagainya.

Kesimpulan :

Saya bersyukur kepada Allah, banyak perkara dimudahkan olehNya sehingga hampir kesemua ibadah dan program yang diatur dapat dilaksanakan. Moga harapan dan cita-cita para Jemaah Haji untuk dapat menunaikan ibadah Haji dan Umrah dapat ditunaikan dan kunjungan julung-julung kali mereka ke Mekah dan Madinah meninggalkan kenangan manis yang berpanjangan. Yang terpenting mereka berpuas hati memilih dan bersama kami (lihat laman Apa Kata Jemaah). Sekian, terima kasih.

Tinggalkan komen